Wednesday, December 5, 2012

Ahli sejarah disaran buat kajian dan penyelidikan - Musa

Posted by Smookiekins On 12/05/2012 01:16:00 PM
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyarankan supaya ahli sejarah menjalankan kajian dan penyelidikan lebih lanjut serta mendalami sejarah kedatangan dan sumbangan agama Islam di Sabah.

Beliau berkata langkah itu penting bagi membantu memperbanyakkan lagi khazanah kajian ilmiah mengenai subjek itu selain menjadi bukti bahawa Islam telah memberi sumbangan yang besar terhadap kehidupan masyarakat di negeri ini.

“Kita juga perlu mengadakan penyelidikan ke arah memperkasakan undang-undang Islam di negara ini dengan melibatkan penyertaan pakar agama dan perundangan, jabatan agama dan kerajaan, agensi serta pihak yang berkaiatan.

“Ia perlu dilaksanakan segera agar perundangan Islam dapat dimartabatkan dan didaulatkan dalam menegakkan keadilan,” katanya dalam ucapan perasmian seminar Perundangan Islam di Dewan Taha D’Bayu, Kompleks Tabung Haji Sabah, di sihi, kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

Musa berkata terdapat juga keperluan untuk memperjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai kedudukan agama Islam dengan teliti dan bijaksana bagi memastikan semua rakyat di negara ini dapat memahami dan menerimanya.

“Sesungguhnya kefahaman serta penerimaan rakyat berbilang kaum dan agama terhadap kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan negeri adalah kunci untuk kita hidup dalam keadaan harmoni dan saling hormat menghormati sesama kita,” katanya.

Beliau berkata ajaran Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk urusan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara.

“Inilah keistimewaan, kesyumulan dan keuniversalan agama Islam. Mengenai perundangan Islam, pasti umum terus memahaminya sebagai isu melibatkan Mahkamah Syariah semata-mata. Ia merangkumi aspek keseluruhan undang-undang Islam di Malaysia yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi termasuk Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong sebagai penaungnya,” katanya.

Musa berkata, dalam konsep perundangan Islam dan kehidupan pada masa ini, undang-undang Islam memenuhi kehendak zaman dan masa.

“Ini kerana undang-undang Islam tidak bersifat jumud sebaliknya mengambil kira faktor persekitaran, kepentingan awam dan kehendak semasa dalam menentukan sebarang hukum yang sesuai dengan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan dan komitmen terhadap penganjuran seminar ini.

“Apa yang penting ialah usaha ini perlu disusuli dengan perancangan rapi dan tindakan berkesan untuk dimanfaatkan sepenuhnya bagi kesejahteraan rakyat dan negeri pada keseluruhannya.

“Seminar seumpama ini bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu dalam konteks perundangan Islam, bahkan berupaya memartabatkan Islam sebagai wahana terbaik bagi mengintegrasikan perbezaan serta kepelbagaian yang wujud untuk memantapkan lagi kesatuan dan keharmonian sesama kita,” katanya.

Seminar sehari itu disertai kira-kira 250 peserta terdiri daripada Pengerusi Majlis Agama, Pengarah Jabatan Agama dan Ketua Hakim Syarie seluruh Malaysia, ahli akademik, pengamal undang- undang, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan di Sabah.

Ia dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dengan kerjasama Majlis Profesor Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.

Turut hadir Pengarah Jheains, Datuk Haji Amri Suratman, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof.Dr.Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod dan Mufti Kerajaan Negeri Sarawak, Ustaz Haji Kifli Yasin.


Sumber: New Sabah Times

10 comments:

  1. apa sahaja yang berkaitan dengan agama islam perlu dirujuk kepada pihak yang arif dalam bidang itu, bukannya ahli2 politik seperti PAS..

    ReplyDelete
    Replies
    1. perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama Islam dianggap menghasut dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum, justeru boleh dikenakan mengikut Akta Hasutan.

      Delete
    2. Betul tu..jangan pula memandai mandai. serahkan pada yang pakar.

      Delete
  2. syabas kepada datuk musa aman kerana terus memberikan perhatian kepada isu2 yang memberikan manfaat yang besar kepada rakyat di negeri ini..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sejarah kedatangan Islam memang patut dibuat kajian terperinci.

      Delete
  3. kajian mengenai sejarah perlu dilakukan agar kita tau sejarah kita.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau dalam buku sejarah, tidak banyak yang dinyatakan hasil kajian di Sabah. rasanya para ahli sejarah perlu bekerja keras lagi.

      Delete
  4. lakukan kajian dgn baik.

    ReplyDelete
  5. usaha Malaysia yang konsisten menyokong dan membantu perjuangan rakyat Palestin selama ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. semoga keprihatinan Malaysia akan mendapat berkat keamanan dan keharmonian berterusan.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...