Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, kelmarin menasihatkan para pengusaha ladang khususnya di Sabah supaya menyediakan kemudahan selesa kepada pekerjanya dalam usaha menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang perladangan.
Menurut beliau, syarikat perladangan di negeri ini mempunyai kekosongan sebanyak 200,000 tetapi tidak semua diisi belia.
Beliau menegaskan, keadaan ini terjadi disebabkan kawasan ladang yang jauh dan tidak memiliki kemudahan sepatutnya untuk keselesaan pekerja.
“Kemudahan termasuk tempat tinggal perlu diberi keutamaan supaya golongan belia tertarik untuk mengisi kekosongan yang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) di pusat membeli-belah Harbour Mall Sandakan, di sini.
Hadir sama, pemimpin politik veteran merangkap Ketua Umno Bahagian Sandakan, Tan Sri Haji Ampong Puyon; Setiusaha BN Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Ahli Parlimen Libaran,Datuk Juslie Ajirol; Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong, Datuk Samsudin Yahya, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah, Awang Kadin Tang dan Exco Pemuda Umno Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Hussin.
Musa berkata, Sawit Kinabalu dan Yayasan Sabah adalah syarikat yang menyediakan peluang pekerjaan di sektor perladangan.


