Kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan dan kerjasama jitu
kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menjayakan pelbagai program
demi memartabatkan bahasa dan sastera di negeri ini.
Ketua
Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, ini selaras dengan tema sambutan
Bulan Bahasa Kebangsaan iaitu “1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara”.
“Dalam
konteks sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini, saya yakin ia merupakan
satu pendekatan yang signifikan untuk terus menyemarakkan rasa kecintaan
dan kemegahan rakyat Malaysia khususnya golongan muda terhadap bahasa
kebangsaan.
“Semangat cinta akan bahasa kebangsaan perlu disemai
secara kreatif dan terus-menerus agar rakyat sentiasa memartabatkan
bahasa Melayu sebagai unsur penting dalam pembentukan tamadun bangsa
Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan
Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Negeri dan Pelepasan Konvoi
Kembara Bahasa, di Wisma Innoprise, di sini, kelmarin.
Turut
hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Menteri
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun, Menteri
Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Azizah Mohd Dun,
Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Sambutan Bulan Kebangsaan
Tan Sri Sukarti Wakiman, Ketua Pengarah DBP Dr.Awang Sariyan dan
Pengarah DBP Cawangan Sabah Jamaluddin Mohd Sulong.
Musa berkata,
kerajaan negeri juga sentiasa mengalu-alukan pelbagai usaha dan
inisiatif DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, sekaligus menjadikannya sebagai citra bangsa Malaysia yang
mempunyai jati diri dan kekuatan sendiri.



